Lambang Kebesaran Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K) yang terdiri daripada Kalung, bintang, Selepang dan Lencana.Seri Panglima Darjah Kinabalu ialah Darjah Kebesaran yang tertinggi di Sabah. Darjah ini dikurniakan kepada kerabat-kerabat Di-Raja Malaysia, pemimpin-pemimpin utama di Sabah, mereka yang berkedudukan tinggi di Sabah dan dengan kedudukan itu telah memberikan khidmat bakti dengan cemerlangnya untuk negeri Sabah selama beberapa tahun.Pemegang Darjah ini terhad kepada 125 orang penerima (yang masih hidup) sahaja bagi sesuatu masa, tidak termasuk  Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri  dan bekas Yang di-Pertua Negeri.  Barangsiapa dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri Sabah, maka pelantikannya itu dengan sendirinya membawa gelaran tersebut walaupun selepas bersara daripada jawatan Yang di-Pertua. Mereka yang mendapat gelaran S.P.D.K. secara kehormat tidak terjumlah dalam had senarai jumlah penerima keseluruhan.

Mereka yang dianugerahi Seri Panglima Darjah Kinabalu berhak menggunakan gelaran DATUK SERI PANGLIMA pada pangkal namanya sama ada lelaki ataupun wanita.  Isteri ahli lelaki bergelar DATIN SERI PANGLIMA.  Suami bagi wanita yang menerima darjah ini tidak boleh memakai gelaran DATUK SERI PANGLIMA.