Panglima Gemilang Darjah Kinabalu ialah Darjah Kebesaran yang kedua tertinggi di negeri Sabah. Darjah kebesaran ini biasanya dikurniakan kepada seseorang yang berjawatan tinggi dalam apa juga lapangan dan telah menyumbangkan bakti cemerlang kepada kerajaan dan negeri Sabah selama beberapa tahun dengan tanggungjawab dan pengaruh tinggi dan sesuai dengan kedudukannya. Mereka ini menjadi ikutan dalam lapangan perkhidmatan dan pekerjaannya itu untuk kebaikan negeri dan negara. 

Mereka yang menerima darjah ini sama ada lelaki ataupun wanita berhak memakai gelaran “DATUK”, manakal isteri lelaki yang menerima darjah ini digelar “DATIN”. Suami bagi seseorang wanita yang menerima darjah ini tidak berhak memakai gelaran “DATUK”. Bilangan pemegang darjah ini terhad kepada 650 orang penerima (yang masih hidup) sahaja dalam sesuatu masa, tidak termasuk mereka yang menerima anugerh kehormat. Ahli-ahli Kehormat Panglima Gemilang Darjah Kinabalu biasanya terdiri daripada putera-putera raja atau pemimpin-pemimpin kanan Negara asing yang bersahabat karib dengan Negeri Sabah dan juga bukan warganegara Malaysia yang telah berjasa besar dan layak diberi gelaran “DATUK”.