Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Bin Haji Mahiruddin dilahirkan pada 5 November 1953 di Kampung Tambisan, Sandakan, Sabah. Beliau berkelulusan Sarjana Muda Sastera (Undang-Undang) dari The Polytechnic, Wolverhampton (1980) dan Barrister-At-Law, Lincoln’s In London (1981).

Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar memulakan kariernya dalam Perkhidmatan Awam apabila beliau dilantik menjadi Majistret Kelas Pertama pada tahun 1982. Beliau dilantik menjadi Setiausaha Politik pada tahun 1986 hingga tahun 1989. Pada tahun 1990, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar telah diberi kepercayaan untuk bertanding dan menang di kawasan Parlimen Kinabatangan dan beliau kekal sebagai Ahli Parlimen kawasan tersebut sehingga 1999. Dalam tempoh yang sama beliau juga telah dilantik memegang jawatan Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat. Selaku Ahli Parlimen dan Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, beliau telah menyertai banyak Persidangan Antarabangsa dan Lawatan Ahli Parlimen di dalam dan luar Negara. Beliau telah dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah mulai tahun 2002 hingga 2010.

Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Bin Haji Mahiruddin telah mendirikan rumah tangga dengan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Hajah Norlidah Binti Datuk R.M. Jasni dan dikurniakan dua (2) orang anak lelaki dan dua(2) anak perempuan.

.