Tun Datuk Hj. Mohammad Fuad Stephens telah dilahirkan pada 14 September 1920.  Beliau merupakan anak kepada Jules Stephens Pavitt dan Edith Cope.  Beliau mempunyai enam orang adik-beradik. Tun Hj. Mohammad Fuad berkahwin  pada tahun 1950 dengan Ida (meninggal dunia pada April 1957) dan dikurniakan seorang anak bernama John Benedict (Johari) yang dilahirkan pada tahun 1952. Beliau kemudiannya berkahwin dengan Toh Puan Rahimah (Cecilia June Lutter) pada 8 Februari 1958.Mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Affandy (Richard Bernard-1958), Asgari (James Denis-1960), Faridah (Jean Heather-1962) dan Fauziah (Aimah Eluk-1964).

Tun Fuad pernah menerima pendidikan di St.Mary’s Boys School, Sandakan; Sekolah St. James di Kudat; Sekolah Vernakular di Keningau dan Sekolah Sacred Heart di Jesselton.  Beliau merupakan seorang yang periang dan aktif di sekolah dan merupakan pemenang Biasiswa Chee Swee Ching.  Tun Fuad boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris, selain boleh bertutur dalam bahasa Bajau dan Hakka.

Tun Fuad mula bekerja sebagai guru. Pada tahun 1941, beliau berhenti untuk pergi ke Singapura kerana ingin memasuki Latihan Udara British, tetapi beliau tidak berjaya.  Beliau kemudian berkhidmat dengan Syarikat Straits Trading Company di bawah pengurusan Sir John Bagnell.  Seterusnya beliau memasuki Pasukan Pertahanan Singapura (Volunteer Force) dan bekerja di sebuah Restoran Jepun di Singapura sehinggalah penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu, Singapura dan Borneo.

Selepas Perang Dunia Kedua tamat pada tahun 1945, Tun Fuad bekerja sebagai kontraktor membekalkan kayu balak untuk kerja-kerja pembangunan kepada Jabatan Kerja Raya.  Selepas itu, beliau telah menjadi pemberita bagi North Borneo News (NBN) di Daerah Pantai Barat, Borneo Utara.
Pada tahun 1953, Tun Fuad menubuhkan The Sabah Times.  Beliau telah menggabungkan North Borneo News dengan The Sabah Times beberapa bulan kemudian dan menamakannya sebagai North Borneo News and Sabah Times.  Beliau telah dilantik sebagai Ahli Majlis Perundangan Negeri pada tahun 1955.
Tun Fuad adalah salah seorang yang memainkan peranan penting dalam membawa Sabah menyertai Malaysia.  Beliau merupakan salah seorang daripada ahli yang terlibat dalam perbincangan tersebut termasuk Tunku Abdul Rahman, Ong Kee Hui, iaitu Pengasas Sarawak United People’s Party (SUPP); Lee Kuan Yew, Ghani Gilong dan lain-lain lagi.

Tun Fuad pernah dianugerahkan Panglima Mangku Negara yang membawa gelaran”Tan Sri” pada tahun 1970.  Selain itu, beliau juga dianugerahkan Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K.) yang membawa gelaran “Datuk Seri Panglima” pada tahun 1963; Panglima Negara Bintang Sarawak (P.N.B.S.) pada tahun 1964 dan Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.) yang membawa gelaran “Tun” pada tahun 1974.  Sumbangan beliau dalam dunia kewartawanan juga dihayati melalui anugerah “The Malaysian Press Institute: Tokoh Wartawan Negara” yang disampaikan secara Posthumous ketika itu oleh Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1998.